HomeGlobalIsrael buru pemimpin Hamas di seluruh dunia

Israel buru pemimpin Hamas di seluruh dunia

NEGARA haram, Israel masih lagi belum puas untuk menghalalkan pembunuhan beramai-ramai, meskipun serangan ke atas Genting Gaza setakat ini sudah pun mengorbankan lebih 15,000 rakyat Palestin.

Ini selepas agensi perisikan Israel berusaha menghapuskan pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di seluruh dunia.

Menerusi arahan daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, agensi perisikan rejim Zionis itu termasuk Mossad sedang melaksanakan rancangan untuk membunuh pemimpin Hamas yang tinggal di Lubnan, Turkiye,  Qatar dan beberapa negara di Teluk Parsi.

Perkara itu didedahkan The Wall Street Journal ketika dimaklumkan pegawai Israel yang enggan dikenali pada Khamis.

“Persoalannya bukanlah isu Israel mahu cuba membunuh pemimpin Hamas di tempat lain di dunia, tetapi di mana dan bagaimana? “ soal pegawai itu kepada akhbar berkenaan.

Laporan itu juga mendakwa bahawa terdapat gesaan untuk melakukan pembunuhan segera ke atas salah seorang pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.

Ini selepas Hamas melancarkan Operasi Banjir Al-Aqsa terhadap rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.

Ketika berucap pada November lalu, Netanyahu berkata bahawa, dia telah mengarahkan Mossad untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Hamas di mana jua mereka berada.

Sementara itu, bekas pengarah Mossad, Efraim Halevy berkata, rancangan tersebut tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

“Memburu Hamas di seluruh dunia dan cubaan menyingkirkan semua pemimpinnya adalah keinginan untuk membalas dendam, bukan mencapai matlamat strategik,” katanya.

Author

Pilihan Editor