HomeSukanJDT ‘bersaing’ untuk layak ke Piala Dunia Kelab 2025

JDT ‘bersaing’ untuk layak ke Piala Dunia Kelab 2025

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang untuk terus melakar sejarah baharu apabila turut berada dalam ranking kelab berpengaruh Asia yang berpeluang ke saingan Piala Dunia Kelab edisi 2025 nanti.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan FIFA, skuad Harimau Selatan kendalian Esteban Solari ketika ini menduduki tangga ke-11 pasukan terbaik Asia dengan empat slot automatik diberikan kepada kelab-kelab di benua ini.

Daripada empat slot tersebut, tiga slot akan diisi oleh juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) edisi 2021, Al-Hilal dan edisi 2022, Urawa Red Diamonds dan satu lagi juara ACL musim 2023/24.

Infografik ihsan laman Twitter/X FIFA.

Satu lagi slot dijangka diisi pemenang saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim 2024/25 yang bakal disertai JDT pada pada September depan.

“Badan induk bola sepak dunia FIFA meletakkan JDT di tangga ke-11 Asia untuk kelayakan Piala Kelab Dunia 2025 zon Asia.

“Kedudukan tersebut adalah berdasarkan prestasi Liga Juara-Juara AFC dari 2021 hingga edisi semasa 2023/24. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang berjaya meraih gelaran ‘double quadruple’ berjaya mengutip 38 mata ketika ini.

Bagi pembahagian slot, seperti dijangka benua Eropah mendapat slot terbanyak dengan 12 kelab diikuti Amerika Selatan (enam pasukan), Amerika Utara, Afrika dan Asia (empat pasukan) sementara wilayah Oceania menerima satu slot.

Sebagai rekod, Piala Dunia Kelab FIFA 2025 akan menampilkan 32 pasukan buat kali pertama dan dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat pada bulan Julai. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor