HomeSukanRTM siar 61 perlawanan Liga M secara langsung

RTM siar 61 perlawanan Liga M secara langsung

SEBANYAK 61 perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 akan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL), RTM selaku rakan penyiar eksklusif terrestrial badan pengendali liga itu membawakan secara percuma liputan secara langsung perlawanan membabitkan 52 perlawanan Liga Super, lapan perlawanan Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia menerusi saluran Okey dan Sukan RTM.

“RTM selaku stesen penyiaran kerajaan sekali lagi mengambil inisiatif dan tanggungjawab menyajikan khalayak penonton setia yang sangat dahagakan penampilan pasukan–pasukan kegemaran mereka dalam aksi terbaik Liga M 2024/2025.

“RTM membawakan liputan secara langsung sukan utama kegemaran rakyat Malaysia bagi menyokong dan meniup semangat ke arah menaikkan mutu sukan bola sepak negara,” menurut MFL dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, peminat bola sepak tanah air juga boleh menonton aksi menarik bola sepak Malaysia di mana-mana sahaja secara lebih selesa dengan penstriman langsung di RTMKlik.

“RTM membariskan pengulas-pengulas sukan berwibawa dan panel undangan terpilih yang sangat berpengalaman serta pakar dalam bidang sukan bola sepak tanah air demi merancakkan siaran.

“Di samping itu, pendekatan teknologi terkini dan kecerdasan buatan seperti Augmented Reality (AR) bakal digunakan sebagai pendekatan persembahan terbaharu khas sajian istimewa kepada penonton setia RTM,” katanya.

Saingan Liga Super bermula pada Sabtu dengan tiga perlawanan berlangsung membabitkan PDRM FC menentang Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC berdepan Kelantan Darul Naim FC dan Terengganu FC menghadapi saingan Perak FC.

 

Author

Pilihan Editor