AKTIVITI seharian pasti membuatkan anda kerap menggunakan tubuh badan untuk bergerak.
Sama ada kerap menaip menggunakan jari atau mengangkat beban yang berat di atas bahu membuatkan anda mudah terasa lenguh terutamanya di bahagian sendi.
Memetik Berita Harian, data menunjukkan lebih 500 juta orang di seluruh dunia atau tujuh peratus daripada populasi dunia menghidap osteoartritis, iaitu penyakit sendi degeneratif yang disebabkan oleh tisu-tisu pada sendi badan yang haus dari masa ke masa.
Osteoartritis ialah jenis arthritis yang paling biasa yang kini tiada ubat, sebaliknya doktor menggunakan pelbagai rawatan untuk membantu melegakan simptom dan memastikan sendi merasa lega termasuk ubat-ubatan, terapi fizikal, pembedahan penggantian sendi dan pengubahsuaian gaya hidup.
Apakah tanda-tanda osteoarthritis?
Osteoartritis ialah keadaan yang menjejaskan sendi badan. Antara anggota tubuh paling biasa berlaku adalah di tangan.
Orang yang menghidap osteoarthritis di tangan akan berdepan masalah pergerakan, bengkak pada sendi dan kesakitan.
Bengkak sendi atau sinovitis boleh menjadi sangat merisaukan.
Pakar reumatologi Kennedy Institute of Rheumatology, Dr Fiona E Watt, serta sebahagian daripada Kumpulan Penyelidikan Osteoartritis, Jabatan Imunologi dan Radang, Imperial College London, yang terbabit dalam kajian itu, menjelaskan kepada Medical News Today, bahawa osteoartritis tangan adalah bentuk artritis paling biasa yang menjejaskan tangan dan dikaitkan dengan beberapa keradangan pada lapisan sendi.
Menurutnya, ia juga dikenali sebagai keradangan sinovitis walaupun ini mungkin tidak ada sepanjang masa atau pada semua peringkat dalam keadaan tertentu.
Osteoartritis tangan dan bengkak sendi yang berkaitan boleh menjadi sukar untuk diurus dan dirawat.
“Penulis kajian ingin melihat sama ada ubat methotrexate mungkin berguna dalam membantu melegakan kesakitan dalam kalangan penghidap osteoarthritis tangan dan sinovitis.
“Methotrexate adalah rawatan biasa untuk jenis arthritis lain seperti arthritis rheumatoid,” katanya.
Kajian keberkesanan methotrexate
Pengarah Pusat Penyelidikan Bioperubatan NIHR Leeds di United Kingdom (UK) dan pakar arthritis, Prof Philip Conaghan, yang turut terbabit dalam kajian itu, menjelaskan mengapa ubat ini biasanya tidak dianggap sebagai rawatan pertama untuk osteoarthritis.
“Methotrexate ialah ubat paling biasa yang digunakan di seluruh dunia untuk merawat arthritis, seperti arthritis rheumatoid atau arthritis psoriatik.
“Ia mempunyai pelbagai tindakan anti-radang. Oleh kerana keradangan dalam osteoarthritis tidak didorong terutamanya oleh sistem imun, masih belum jelas jika methotrexate akan berfungsi dalam osteoarthritis,” katanya.
Pengarang kajian yang juga Ketua Unit Muskuloskeletal Universiti Monash dan Ketua Reumatologi Hospital Alfred, Prof Flavia Cicuttini, pula menjelaskan kesukaran mengenai pilihan rawatan untuk osteoarthritis tangan.
“Osteoartritis tangan adalah keadaan melumpuhkan yang menyebabkan kesakitan dan menjejaskan fungsi, menghalang aktiviti harian sukar memakai berpakaian dan makan sehingga mengurangkan kualiti hidup dengan ketara,” katanya.