HomeNiagaKerjasama Lautan Variasi-Telstra sediakan teleport satelit

Kerjasama Lautan Variasi-Telstra sediakan teleport satelit

CYBERJAYA: Lautan Variasi Sdn Bhd dan Telstra International yang  memeterai perjanjian kerjasama komited menyediakan kemudahan teleport satelit di sini, serta menawarkan perkhidmatan satelit Geostationary Equatorial Orbit (GEO) dan Low Earth Orbit (LEO) di Malaysia.

Perbincangan kerjasama itu dimulakan sejak penghujung Disember 2022 dan berakhir pada Ogos 2023, manakala projek perkhidmatan antara kedua-dua syarikat itu kini sedia untuk dilaksanakan menjelang Mac 2024.

Menerusi projek itu, Telstra akan melabur dalam pintu masuk, hab dan menyediakan perkhidmatan kapasiti teleport terurus, sementara Lautan Variasi pula akan melabur dalam kemudahan teleport di darat.

Kerjasama dengan Lautan Variasi itu juga melengkapkan 25 matlamat Telstra untuk mengembangkan dan meluaskan kedudukannya sebagai peneraju rangkaian di pasaran antarabangsa serta meningkatkan liputan di seluruh dunia.

Selari dengan objektif utama untuk menjadi platform bagi merapatkan jurang digital negara buat masyarakat luar bandar dan kurang mendapat liputan, projek tersebut akan menyediakan perkhidmatan sambungan pantas dan cekap buat penduduk luar bandar dan kawasan terpencil.

Teruja dengan kerjasama itu, Pengarah Urusan Lautan Variasi, Datuk Syed Nasir Hussin Syed Peer berkata, perkhidmatan sambungan satelit generasi akan datang mewujudkan peluang baharu buat pengguna serta pelanggan perniagaan dan perusahaan kecil.

“Keutamaan diberi buat mereka yang memerlukan liputan berterusan atau redundansi tambahan daripada ‘backhaul‘ kepada ‘back-up‘, daripada IoT (Internet Kebendaan) kepada sokongan perkhidmatan kecemasan, daripada jalur lebar satelit kepada sokongan perusahaan Very Small Aperture Terminal (VSAT) – minyak dan gas, teknologi pertanian, kesihatan dan pendidikan.

“Kami sudah menandatangani perjanjian kerjasama selama 10 tahun dengan Telstra dan kami berhasrat untuk bekerjasama secara strategik dalam ruang perkhidmatan satelit dalam jangka masa panjang.

Syed Nasir

“Projek ini akan memberi motivasi kepada penyedia teknologi seperti kami, menunjukkan hasil dan menyokong komuniti terpencil di negara ini. Projek ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi visi Lautan Variasi untuk menjadi pemain industri serantau menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Asia Utara dan Pemborong Global Telstra, Paul Abfalter berkata, syarikat berkenaan memiliki dan mengendalikan rangkaian stesen satelit di seluruh rantau Asia Pasifik (APAC).

Katanya, ia bertujuan menyediakan operator satelit dan penyedia perkhidmatan serta pemegang dengan perkhidmatan sambungan ideal.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan pelanggan kami yang meneroka pilihan baharu dan menyediakan liputan perkhidmatan satelit bertaraf dunia yang berkualiti tinggi, memiliki kos efektif, bersesuaian dan berskala di negara, yang membantu meningkatkan ketersambungan yang dihantar di kawasan terpencil, menghubungkan orang ramai dan menutup jurang digital,” katanya.

Lautan Variasi sedang membina kemudahan teleport satelit terkini bersama pusat data di tengah-tengah bandar Cyberjaya.

Kemudahan itu bukan sahaja berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada pelanggan, malah ia juga menyokong pemain industri telekomunikasi tempatan dan serantau untuk pengehosan dan kapasiti mereka.

Menjelang pertengahan 2025, Lautan Variasi menyasarkan tawaran perkhidmatan sambungan berkelajuan tinggi dan kependaman rendah (low latency) untuk Malaysia dan APAC.

Author

Pilihan Editor