HomeBeritaKucing selamatkan tuan dari kebakaran

Kucing selamatkan tuan dari kebakaran

SIAPA sangka, haiwan peliharaan juga boleh menyelamatkan nyawa majikan daripada musibah.

Itulah yang dilalui pasangan suami isteri, Ruhaifi Isyraf dan Siti Aishah Zainul, yang berdepan detik cemas akibat kebakaran di rumah kediaman mereka di Perumahan Bukit Rangin Perdana Satu, Kuantan, kelmarin.

Menurut Ruhaifi Isyraf Saad, 45, dia amat bersyukur kerana kucing betina yang diberi nama ‘Hana’ mengejut isterinya, seolah-olah memberi tahu rumah tempat mereka berteduh terbakar.

Katanya, ketika kejadian bekalan elektrik terputus selepas berlaku litar pintas yang dipercayai bermula daripada televisyen.

“Saya dan isteri segera bangun apabila terhidu bau asap daripada bilik, kami cuba memadam api dengan cara menyiram dengan air. Isteri menggunakan kain basah bagi mengawal api pada televisyen yang berasap.

“Tindakan pantas membolehkan kami memadam kebakaran dalam masa beberapa minit, saya dan isteri sentiasa bertenang sepanjang kejadian berlaku,” katanya memetik Berita Harian pada Isnin.

Maklumnya lagi, kebakaran yang berlaku kira-kira 4 pagi kelmarin itu mengakibatkan beberapa peralatan elektrik dan perabot terletak dalam bilik rumah musnah sehingga mengalami kerugian lebih RM5,000.

Dalam pada itu, Ruhaifi turut menyatakan bahawa dia memiliki 65 ekor kucing yang ditempatkan dalam beberapa bilik rumahnya, cuma ‘Hana’ sahaja yang berada dalam bilik tidur mereka setiap malam kerana haiwan berkenaan tidak berminat tinggal dengan kucing lain.

Sementara itu, Siti Aishah pula menyatakan ketika kebakaran berlaku, dia hanya mengenangkan 65 ekor kucing, sambil memadam api dia berdoa semoga Allah membantu selamatkan nyawa haiwan peliharaan mereka.

Katanya, dia tidak dapat bayangkan sekiranya kebakaran tidak dapat dikawal, kejadian memilukan pasti berlaku pada 65 ekor kucing peliharaannya yang berada dalam dua bilik termasuk ruang dapur.

“Saya dan suami tinggal bersama kucing sejak sembilan tahun lalu, sebelum ini kami pernah memiliki 80 ekor kucing jalanan yang dijaga dengan penuh kasih sayang.

“Kami membelanjakan lebih RM3,000 sebulan untuk menyediakan makanan, perbelanjaan itu tidak termasuk kos rawatan sekiranya ada kucing yang sakit dan memerlukan rawatan,” katanya yang bertugas sebagai guru sekolah menengah di Kuantan.

Kedua pasangan itu turut menyatakan bahawa kehidupan mereka suami isteri sentiasa ceria dan gembira bersama 65 ekor kucing meskipun masih tidak dikurniakan zuriat.

Jelas Siti Aisyah, kucing menjadi penyeri rumah tangga mereka yang memiliki kasih sayang begitu mendalam pada haiwan manja tersebut.

Author

Pilihan Editor