HomeBeritaNegeri Sembilan beri bonus satu bulan setengah gaji

Negeri Sembilan beri bonus satu bulan setengah gaji

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih itu akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada hujung Februari sebagai persediaan persekolahan.

Bayaran kedua pada penghujung Mac menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Adalah diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Seramai 6,662 penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri akan menerima BKK berkenaan.

Terdahulu, Aminuddin mencadangkan Belanjawan Tahun 2024 dengan peruntukan Anggaran Belanja Mengurus sebanyak RM 555.0 juta berbanding Anggaran Hasil sebanyak RM520.0 juta. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor