HomeBeritaTelco diberi amaran untuk tidak kenakan caj tambahan akses 5G

Telco diberi amaran untuk tidak kenakan caj tambahan akses 5G

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan bayaran tambahan bagi akses 5G.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau dan memastikan tiada caj tambahan bagi penggunaan 5G.

Katanya, tidak perlu ada caj tambahan kerana infrastruktur 5G ditanggung oleh wang rakyat.

“Perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah keseluruhan kos infrastruktur sehingga menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) adalah menggunakan dana awam.

“Sehubungan itu, tidak sepatutnya ada caj tambahan. Jika mereka terus mengenakan caj demikian, maka kami akan mempertimbangann untuk mengambil tindakan,” katanya selepas melancarkan OK Vision di sini hari ini.

Fahmi juga merujuk perbualannya dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah telco yang memberi jaminan tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan dalam pakej perkhidmatan terbaru untuk pengguna.

“Jadi, mereka telah mengumumkan pakej baharu mereka sendiri di mana mereka telah menghapuskan bayaran tambahan, itulah yang dikatakan kepada saya,” ujarnya.

Jelas Fahmi, berkenaan dengan syarikat telekomunikasi lain, beliau telah mengarahkan SKMM mengikuti perkembangan mengenai perkara itu dan memastikan tiada lagi caj tambahan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai caj tambahan rangkaian 5G yang dikenakan kepada pengguna.

Pada Ogos lalu, Fahmi memaklumkan, kerajaan telah bertemu dengan CEO syarikat telekomunikasi untuk membincangkan caj tambahan yang dikenakan oleh syarikat berkaitan langganan 5G.- Utusan

Author

Pilihan Editor