PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tekad mengambil inisiatif memberi bantuan kepada penggiat industri kreatif menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri.
Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi akan menyelaras agihan bantuan secara sistematik menerusi data yang diperolehi.
“Finas sentiasa memerhati penggiat industri yang perlu bantuan secara langsung atau tidak dan mendapati bantuan yang diberi adalah secara ad-hoc. Jadi, kita mahu buat bantuan dengan cara yang lebih sistematik,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif pada Isnin.