BEIRUT: Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah berkata Ahad bahawa kumpulannya bersedia untuk ‘peperangan tanpa had’ dengan Israel, ketika kedua-dua pihak berbalas-balas tembakan di sempadan.
“Israel dan tentera serta peneroka haramnya adalah orang yang takutkan peperangan, bukan Lubnan,” kata Nasrallah dalam satu ucapan, seminggu selepas komander kanan Hizbullah Wissam al-Tawil terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan.
“Kami bersedia untuk berperang sejak 99 hari yang lalu,” kata Nasrallah.
“Kami akan berperang dan akan berjuang tanpa had atau kawalan jika perang dikenakan ke atas kami,” tambahnya.
Ketua Hizbullah berkata, tentera Israel menyembunyikan kematian di pihak mereka.
“Apabila perang berhenti, musuh akan menghadapi bencana akibat penentangan di Gaza dan barisan penentangan lain,” tambahnya.
Ketegangan semakin memuncak di sepanjang sempadan Lubnan dengan Israel sejak tentera Israel melancarkan serangan maut di Genting Gaza berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober, dalam pertempuran paling dahsyat sejak kedua-duanya pihak berperang secara besar-besaran pada 2006. – Anadolu