HomeBerita'Tak salah bersilat depan Masjid Nabawi tapi ada syarat' - Mufti

‘Tak salah bersilat depan Masjid Nabawi tapi ada syarat’ – Mufti

MUFTI Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan bukanlah satu masalah untuk melakukan pertunjukkan silat di hadapan Masjidil Haram di Makkah atau Masjid Nabawi di Madinah.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu seharusnya dibuat selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi terlebih dulu serta tidak mencemarkan imej negara.

Menurut Wan Salim merujuk kepada sirah Nabi SAW, pernah satu rombongan dari negara Habasyah membuat pertunjukan tarian pedang di dalam Masjid Nabi disaksikan baginda dan Sayyidatina Aisyah

“Tiada larangan bersilat atau membuat persembahan martial art di dalam masjid termasuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kita membaca di dalam kitab-kitab sirah diceritakan pada zaman Rasulullah SAW pernah satu rombongan dari negara Habsyah membuat pertunjukan tarian pedang (tarian kepahlawanan seakan-akan silat) di dalam Masjid Nabi sedangkan Sayyidatina Aisyah menyaksikan pertunjukan itu bersama Rasulullah menerusi jendela rumahnya.

“Mungkin diperlukan syarat-syarat tertentu seperti silat itu tidak disertai dengan jampi mentera yang haram menurut hukum syarak serta mendapat kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya, memetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu video yang tular di media sosial membabitkan seorang lelaki dewasa bersama dua orang kanak-kanak lelaki bersilat di hadapan Masjid Nabawi di Madinah.

Dalam video itu kelihatan tiga beranak lengkap berpakaian tradisi Melayu serta bertanjak melakukan aksi silat sehingga mengundang kecaman warga net.

Mengulas lanjut, Wan Salim menasihati orang ramai supaya menjaga perilaku ketika berada di Tanah Suci.

“Kalau ia akan merosakkan nama baik Malaysia di mata umat Islam dari negara-negara lain atau akan nenyebabkan kemarahan pihak pengurusan Masjid Nabawi maka tidaklah bijaksana pertunjukan itu diadakan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor