HomeBeritaWanita cedera ditikam sebab salah faham

Wanita cedera ditikam sebab salah faham

HULU SELANGOR: Seorang wanita cedera di bahagian perut dan beberapa bahagian tubuh yang lain, selepas ditikam oleh seorang wanita di hadapan rumahnya di Batang Kali, disini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, insiden itu berlaku kira-kira pukul 4.04 petang, dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Menurutnya, suspek yang berusia 31 tahun bertindak menikam perut mangsa menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 26.5 sentimeter.

“Mangsa berusia 27 tahun yang mengalami luka di perut, selain cedera pada bahu, tangan kanan dan kiri serta kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek yang juga rakan kepada kakak mangsa kira-kira pukul 6 petang hari sama di sekitar kawasan Batang Kali,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad Faizal, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Maklumnya, pihak polis akan memohon tahanan reman ke atas suspek di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Susulan itu beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223.

Author

Pilihan Editor