HomeGaya HidupElak kulit rosak, 'sunscreen' juga penting di dalam rumah

Elak kulit rosak, ‘sunscreen’ juga penting di dalam rumah

SETIAP individu yang mementingkan penampilan sudah pasti mengimpikan kulit yang cantik dan berseri.

Selain menikmati makanan berkhasiat, rutin pemakaian produk kecantikan yang lengkap dengan langkah teratur merupakan jawapan kepada kecantikan kulit.

Salah satu produk kecantikan yang wajib dimiliki oleh setiap individu tidak kira lelaki mahu pun wanita adalah krim pelindung matahari atau sunscreen.

Umum mengetahui bahawa, pelindung matahari selalunya dipakai sebelum seseorang keluar dari rumah, bertujuan mengelakkan kulit terbakar serta mengelakkan risiko kanser kulit.

Namun, tahukah anda bahawa pelindung matahari juga sepatutnya digunakan di dalam rumah?

Ahli dermatologi, Dr Jushya Sarin menekankan mengenai kepentingan memakai pelindung matahari, meskipun seseorang berada di dalam kediaman masing-masing.

Beliau berkata, pelindung matahari berfungsi melindungi orang ramai daripada terkena pancaran matahari secara langsung, yang berpunca daripada sinaran ultraviolet B (UVB).

“Namun jangan lupa bahawa, sinaran ultraviolet A (UVA) juga menyumbang kepada penuaan dan kanser kulit, yang mana ia bakal terjadi sekiranya anda berada di dalam rumah,” katanya seperti dilapor The Indian Express.

Jelasnya, sinaran UVA mempunyai gelombang yang lebih tinggi berbanding sinaran UVB.

“Sinaran ini mampu meresap jauh ke dalam kulit anda dan memecahkan kolagen sedia ada, yang juga penyebab utama kulit berkedut. Ia juga mampu memancar meskipun melalui tingkap dan awan,” katanya.

Cahaya dari komputer riba mampu menyebabkan kerosakan kulit sekiranya pelindung matahari diabaikan. -Foto: Gambar hiasan/Agensi

Selain itu, jelasnya, kulit seseorang juga mampu rosak akibat cahaya biru (blue light) yang dipancarkan menerusi alat elektronik.

Oleh kerana kebanyakan individu menghabiskan masa selama berjam-jam di hadapan komputer riba dan skrin mudah alih, pelindung matahari juga penting bagi melindungi kulit daripada cahaya tersebut.

“Meskipun cahaya ini tidak menyebabkan kulit terbakar seperti sinar matahari, namun ia menyebabkan kerosakan pada kulit.

“Cahaya yang datang daripada alat elektronik serta telefon pintar LED yang berkelip setelah anda mengambil foto akan meningkatkan pengoksidaan pada kulit sekali gus merosakkan sel,” jelasnya.

Justeru, beliau mencadangkan orang ramai supaya memakai pelindung matahari spektrum luas ketika berada di dalam rumah dan serum antioksida bagi mencegah pengoksidaan.

Author

Pilihan Editor