HomeBeritaHormati keputusan Mahkamah Persekutuan - Sultan Selangor

Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan – Sultan Selangor

CYBERJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Sultan Sharafuddin merujuk kepada polemik melibatkan keputusan majoriti 8-1 dibuat Mahkamah Persekutuan minggu lalu, berhubung 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Baginda turut mengingatkan tentang kepentingan usaha mencari jalan bagi mengatasi segala permasalahan yang timbul, dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan.

Baginda bertitah, usaha itu antara lain termasuk membuat kajian sekiranya terdapat keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

Titah Sultan Sharafuddin, ia bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan tanpa sebarang kekaburan.

“Pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut.

“Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut.

“Namun demikian, terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah, ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai detik ‘Black Friday’ kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini,” titah Sultan Sharafuddin.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian sempena mesyuarat MKI kali ke-71, pada Khamis.

Intipati titah Sultan Sharafuddin itu dimuat naik ke laman Facebook Selangor Royal Office.

Titah Sultan Sharafuddin lagi, baginda tidak berhasrat untuk terlibat dalam polemik tersebut kerana telah disembah maklum bahawa, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam sedang meneliti persoalan berbangkit berkenaan.

Sultan Selangor itu bertitah, jawatankuasa khas tersebut sudah diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan iaitu pada 28 Ogos 2023, untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menggesa semua pihak termasuk pakar-pakar perundangan supaya membantu jawatankuasa khas itu dengan memberikan cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan jawatankuasa itu melaksanakan tugas mereka.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini. Namun, Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah SWT, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Sementara itu, beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan daripada Jawatankuasa Khas berkenaan.

“Di kesempatan ini, beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulama dan ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut berharap supaya saranan dan nasihat itu dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Titah Sultan Selangor, umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu, malah semakin serius sejak kebelakangan itu.

Baginda bertitah, perkara itu telah mencetuskan permusuhan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan Islam.

“Apabila umat Islam kuat dan bersatu padu, masyarakat bukan Islam akan menghormati umat Islam. Di samping itu, pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.

“Teguran beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada kesudahan.

“Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama,” titah Sultan Sharafuddin lagi.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut berharap agar amalan melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) daripada kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan ketika ini dapat diteruskan.

Titah baginda, ia bagi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik, manakala tumpuan sepenuhnya dapat diberikan menteri itu dalam menyelesaikan pelbagai isu melibatkan umat Islam.

“Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama dalam melantik seorang menteri agama,” titah Sultan Selangor.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.

“Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.

“Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak,” titah baginda.

Author

Pilihan Editor