HomeBeritaPeniaga kantoi guna pewarna 'cantikkan' ikan

Peniaga kantoi guna pewarna ‘cantikkan’ ikan

JIKA pergi ke pasar malam, pasti adakalanya rasa terliur melihat air dalam balang yang berwarna-warni menarik setiap mata yang berkunjung.

Tidak hairan jika warna air yang ‘mengancam’ itu sebenarnya terjadi kerana segelintir peniaga meletakkan pewarna bagi membuatkan air dijual mereka kelihatan menyelerakan.

Namun, siapa sangka kini terdapat juga peniaga yang menggunakan pewarna untuk jualan ikan di pasar.

Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesan seorang peniaga ikan menggunakan bahan pewarna dipercayai untuk ‘mencantikkan’ ikan yang dijualnya di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemeriksaan itu dijalankan anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu susulan laporan di media sosial mengenai tindakan peniaga ikan meletakkan bahan pewarna dalam tong ikan, sehari sebelum itu.

“DBKK melakukan pemeriksaan di Pasar Malam Inanam susulan aduan pewarna yang digunakan pada ikan yang dijual dan kita dapat mengesan penjaja yang disyaki menggunakan pewarna untuk mewarnakan ikan.

“Sampel ikan dibawa ke makmal oleh pihak KKM untuk siasatan lanjut dan hasilnya nanti akan dimaklumkan kepada JKPB DBKK untuk tindakan lanjut,” maklum DBKK.

Pada masa sama, DBKK menyatakan bahawa sampel ikan yang dijual kemudian diambil oleh anggota Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada pewarna terbabit berbahaya atau tidak.

Jelasnya lagi, jika bahan pewarna yang digunakan mengandungi bahan berbahaya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga yang menggunakan bahan berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial tindakan segelintir peniaga yang didakwa menggunakan bahan pewarna dipercayai untuk menjadikan ikan kelihatan segar dengan kebiasaannya mereka menggunakan pewarna merah untuk mencelup ikan yang berwarna merah, seperti ikan mata besar atau lebih dikenali sebagai ikan ‘Uji Rashid’.

Author

Pilihan Editor