HomeBeritaPN wujudkan jawatankuasa khas perkasa perundangan syariah

PN wujudkan jawatankuasa khas perkasa perundangan syariah

CYBERJAYA: Kedudukan perundangan syariah dan kepentingan umat Islam akan diperkasakan menerusi Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang yang diwujudkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu diputuskan ketika mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN pada Rabu.

Muhyiddin berkata, mesyuarat khas Majlis Tertinggi itu sudah pun mengadakan perbincangan dan memperhalusi secara khusus berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan, baru-baru ini.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi PN turut berbincang kesan keputusan itu terhadap perundangan syariah, umat Islam dan masyarakat Malaysia amnya.

Sehubungan itu, katanya, PN memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang itu yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada masa sama, Muhyiddin memaklumkan, PN juga akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat yang akan diketuai Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

“PN memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang diyakini memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di Malaysia.

“Persidangan Meja Bulat dan jawatankuasa teknikal ini akan melibatkan penyertaan pakar-pakar Perlembagaan dan perundangan Islam, ulama, ilmuan Islam dan pemegang taruh yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan ahli-ahli Majlis Tertinggi PN.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengumumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Februari lalu.

“Majlis Tertinggi PN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas sumbangan dan jasa bakti dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan sebelum ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor