HomeSukanPSM guna khidmat pakar persiap 2 acara besar di SNBJ

PSM guna khidmat pakar persiap 2 acara besar di SNBJ

CYBERJAYA: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengambil langkah untuk menggunakan khidmat tenaga pakar Labosport bagi mempersiapkan dua acara besar, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Acara tersebut menyaksikan konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang berlangsung pada Sabtu serta perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman pada 26 Mac depan.

Menurut PSM, pihaknya sudah pun melaksanakan langkah awal dengan memindahkan rumput seluas 1,900 meter persegi, bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema ‘World Tour’ konsert berkenaan.

“Sementara itu, rumput yang telah dipindahkan kini diberi jagaan intensif termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, PSM memaklumkan bahawa, pihaknya bersedia untuk menggunakan rumput dari tapak semaian sekiranya terdapat keperluan.

Sementara itu, jelasnya, tapak semaian sedia ada memiliki keluasan rumput melebihi 2,000 meter persegi bagi menampung keperluan padang SNBJ.

“Kerja-kerja membongkar peralatan daripada konsert akan dimulakan sejurus selepas konsert berakhir dan kerja di padang akan bermula dengan segera selepas itu,” katanya.

Menjengah ke media sosial, gambar pentas bagi konsert Ed Sheeran di padang SNBJ ketika ini ditempatkan di tengah selepas sebahagian rumput di bahagian tersebut dicabut.

Pentas bagi konsert Ed Sheeran yang ditempatkan di bahagian tengah padang. -Foto: Media Sosial

Padang SNBJ menjadi buah mulut rakyat tempatan ketika ini, yang rata-ratanya khuatir apabila kualiti gelanggang Harimau Malaya itu akan menurun sebaik sahaja konsert Ed Sheeran berakhir.

Sebelum ini, PSM dihujani dengan kecaman hebat, apabila didakwa membiarkan kualiti padang menurun selepas berakhirnya konsert Coldplay pada 22 November lalu.

Aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang berlangsung pada 8 Disember lalu menerima respons negatif daripada penyokong bola sepak tanah air.

Ini selepas permukaan padang SNBJ dilihat kurang memuaskan dan didakwa menjejaskan persembahan kedua-dua pasukan tersebut.

 

Author

Pilihan Editor