HomeBeritaRM329.5 bilion jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara

RM329.5 bilion jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara

CYBERJAYA: Sebanyak RM329.5 bilion nilai pelaburan diluluskan di Malaysia pada tahun lalu, sekali gus menyaksikan peningkatan 23 peratus berbanding 2022.

Kadar itu juga merupakan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.

Perkara tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Menurut Anwar, pelaburan asing menjadi penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding 42.8 peratus pelaburan domestik.

Beliau berkata, prestasi cemerlang itu disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.

Katanya, ini secara tidak langsung menjadikannya satu petanda bahawa, dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil meningkatkan keyakinan pelabur.

“Landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

“Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh merangkumi 51.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat MPN itu juga telah membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat.

Jelasnya, pelaburan digital juga merupakan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuh agenda pelaburan negara.

Anwar berkata, ekonomi digital yang telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2021 diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

“Bagi tempoh 2021-2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion yang merangkumi projek diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan iaitu dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan.

“Kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

“Justeru, kerajaan perlu memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor