HomeGlobalUK gesa Israel berhenti, pertimbang dengan teliti sebelum terus serang Rafah

UK gesa Israel berhenti, pertimbang dengan teliti sebelum terus serang Rafah

 

ISRAEL mesti mempertimbangkan dengan teliti akibat daripada tindakan ketenteraan seterusnya di Rafah di selatan Gaza, yang menempatkan kira-kira sejuta orang awam Palestin yang kehilangan tempat tinggal, kata Setiausaha Luar Britain, David Cameron.

Komennya dibuat sejurus selepas Israel melakukan serangan udara yang mengorbankan 67 orang di bandar itu dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera, menurut pegawai tempatan, lapor RT.

Terletak berhampiran sempadan Mesir, Rafah mempunyai penduduk sekitar 280,000 orang sebelum pertempuran antara Israel dan Hamas tercetus Oktober lalu. Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum ini menggesa orang awam Palestin supaya berpindah ke Rafah ketika pasukan itu bergerak ke bahagian utara enklaf itu.

Bercakap kepada pemberita pada Isnin, Cameron berkata, UK sangat prihatin terhadap situasi itu dan mahu Israel berhenti dan berfikir dengan sangat serius sebelum ia mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata,  adalah mustahil untuk berperang di kalangan penduduk Rafah yang semakin bertambah kerana sudah tiada tempat untuk mereka pergi.

Menurut bekas perdana menteri Britain itu, London ingin melihat pemberhentian sementara serta-merta dalam pertempuran yang akan membawa kepada gencatan senjata.

Pada Sabtu, Cameron menganggarkan bahawa lebih separuh daripada penduduk Gaza berlindung di kawasan itu pada masa ini.

Author

Pilihan Editor