HomeBeritaUPM ingatkan ‘geng hiking’ jangan ceroboh Hutan Simpanan Kekal

UPM ingatkan ‘geng hiking’ jangan ceroboh Hutan Simpanan Kekal

CYBERJAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang ada di Malaysia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu perkongsian di portal rasminya menyatakan, budaya penularan ‘hidden gems’ bagi aktiviti jelajah hutan sehingga menceroboh kawasan HSK hanya meninggalkan kesan buruk pada kawasan lindungan.

Perkara itu disuarakan pihak UPM susulan kawasan lubuk kawah atau Blue Lagoon di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), yang lebih dikenali sebagai Wawasan Hiking Trail atau Kinrara Hiking Trail, dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.

Pemelihara HSAH, Mohd Farhan Shahrin berkata, kawasan yang memiliki air sungai berwarna biru itu seringkali diceroboh khususnya pada hujung minggu dan musim perayaan melalui laluan atau jalan haram yang dibuka sendiri oleh para penjelajah hutan.

“Baru-baru ini, telah tular di media sosial lokasi hutan yang berkeluasan 1182 hektar yang dianugerahkan melalui perjanjian kepada UPM sebagai kawasan penyelidikan, pendidikan dan pengembangan bukanlah untuk aktiviti rekreasi telah dicerobohi orang awam.

“Kedudukan hutan HSAH yang dikelilingi kawasan pembangunan yang pesat menyebabkan lokasi itu sentiasa diserang penceroboh daripada setiap penjuru hutan selain melibatkan kos yang amat tinggi untuk membina pagar melindungi kawasan itu,” maklumnya.

Dalam pada itu, Farhan turut menegaskan bahawa kawasan Blue Lagoon terbabit adalah lubuk berbahaya kerana mempunyai kedalaman hampir 20 kaki dan pernah meragut nyawa.

Tegasnya lagi, kualiti air di kawasan itu perlu dijaga dan dikawal kerana aktiviti rekreasi tanpa kawalan menerusi pencerobohan menyebabkan air di sekitar kawasan berkenaan tercemar sehingga menjadi punca kencing tikus sekali gus membahayakan pelajar yang sedang melaksanakan kajian.

“Isu pencerobohan HSK bukanlah sesuatu perkara yang baharu bahkan saban tahun ada sahaja kejadian berulang yang dilaporkan.

“Seharusnya rakyat Malaysia perlu menjadi ‘air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut’ bagi melindungi segala khazanah alam untuk simpanan anak dan cucu generasi masa hadapan.

“Pencerobohan HSK hasil budaya ‘hidden gems’ sememangnya membawa impak negatif yang besar kepada penghuni hutan serta masyarakat tempatan yang bergantung kepada hutan tersebut untuk kehidupan mereka,” maklum pihak UPM.

Author

Pilihan Editor