YOUTUBE, platform perkongsian video terbesar di dunia dengan lebih 2 bilion pengguna aktif, kini berusia 19 tahun.
Diasaskan pada 14 Februari 2005 oleh tiga usahawan, ia dibeli oleh gergasi teknologi Google pada harga AS$1.65 bilion selepas setahun setengah penubuhannya.
Menjadi pemain utama dalam ekosistem Google sejak 2006, platform ini mempunyai 2.7 bilion pengguna aktif setakat 2024, yang dijangka mencapai 2.85 bilion pada 2025, menurut data yang dikumpulkan oleh Anadolu.
Lebih separuh daripada netizen di seluruh dunia melawat YouTube sekurang-kurangnya sekali sebulan, dengan platform itu mencatatkan kira-kira 113 bilion lawatan bulanan.
Versi tanpa iklannya, YouTube Premium, dan rakan kongsinya YouTube Music baru-baru ini mencecah 100 juta pengguna di seluruh dunia.
YouTube menjana sekitar AS$30 bilion hasil iklan tahunan, yang membentuk sumber pendapatan utamanya.
India menduduki tempat pertama dalam senarai negara dengan pengguna YouTube paling ramai setakat Januari tahun ini dengan 462 juta, diikuti Amerika Syarikat (AS) dengan 239 juta.
Sementara itu, Türkiye berada di kedudukan ke-11 dengan 57.5 juta pengguna aktif.
Kira-kira 46.1 peratus daripada pengguna platform adalah wanita dan 53.9 peratus lelaki, dan dengan jumlah 720,000 jam video yang dimuat naik setiap hari ke platform, kumpulan umur terbesar menggunakan YouTube ialah antara 15 dan 45.
Pengguna menonton lebih satu bilion jam video setiap hari.
MrBeast pencipta kandungan berpendapatan tertinggi
Platform perkongsian video dianggap sebagai sumber pendapatan penting untuk pencipta kandungan, juga dipanggil YouTuber, yang mungkin seseorang, kumpulan orang, atau malah sebuah syarikat.
YouTuber MrBeast yang berpangkalan di AS, pencipta kandungan yang bekerja dengan pasukannya untuk mencipta cabaran yang melibatkan beribu-ribu dolar, kini menduduki tempat pertama dalam senarai hasil terjana tertinggi pada platform, memperoleh sekitar AS$54 juta setahun mengikut data 2022.
Dia diikuti oleh Jake Paul, seorang lagi vlogger berpangkalan di AS, dengan AS$45 juta, Markiplier, penyemak permainan video dan pelakon di platform, dengan AS$38 juta, Rhett dan Link, duo penghibur, dengan AS$30 juta, dan Unspeakable, pencipta yang melakukan cabaran untuk penontonnya, dengan AS$28.5 juta.