HomeGaya HidupBerpada-pada makan nasi kandar kuah banjir, berat anda boleh naik mendadak!

Berpada-pada makan nasi kandar kuah banjir, berat anda boleh naik mendadak!

ADAKAH anda gemar makan nasi kuah campur setimbun atau nasi kandar kuah campur banjir ketika makan di kedai? Jika ya, sila berhati-hati. Walaupun sekadar nasi kuah banjir, ia boleh menaikkan berat badan anda dalam sekelip mata jika kerap diamalkan setiap kali anda makan. Kenapa macam tu? Baca penerangan di bawah ini seperti yang dikongsikan oleh portal HelloDoktor.

Kadar obesiti di Malaysia

Malaysia memang terkenal sebagai syurga makanan dan penduduknya sangat suka mencuba perlbagai jenis makanan yang terkenal dan viral.

Hampir setiap minggu atau bulan, ada sahaja makanan atau minuman baharu yang diviralkan di media sosial.

Malah ia seolah-olah menjadi satu kemestian untuk mencubanya jika tidak mahu dilihat ketinggalan dalam arus semasa.

Namun tahukah anda, Malaysia juga merupakan salah satu negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, hampir setengah daripada penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti.

Ini menunjukkan bahawa isu pemakanan secara berlebihan dan obesiti adalah sesuatu yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

Nasi kandar kuah banjir budaya makanan orang Malaysia

Istilah kuah banjir adalah satu trend makanan yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di restoran mamak.

Ia merupakan hidangan nasi yang biasanya dicampurkan dengan pelbagai jenis kuah sehingga melimpah-limpah dalam pinggan nasi tersebut.

Trend ini lebih mudah dijumpai di kedai-kedai mamak, namun ia juga biasa ditemukan di kedai makan biasa.

Foto: FB Mohd Faiz Azri

Tambahan pula pada bulan puasa ini, anda pasti ‘craving’ untuk melepaskan gian makan nasi kandar kuah campur banjir.

Namun ramai yang tidak sedar bahawa setiap kuah itu sendiri mengandungi banyak kalori.

Ini belum lagi dikira kalori daripada lauk-pauk yang dihidangkan bersamanya seperti ikan, daging, ayam dan sebagainya.

Antara punca kuah ini tinggi kalori adalah kerana ia mengandungi banyak minyak, lemak, gula, garam dan bahan perisa lain.

Bagaimana kuah banjir boleh buat badan gemuk?

Dalam trend makan nasi kandar kuah banjir, satu pinggan nasi mungkin mengandungi antara tiga hingga lima jenis kuah yang berbeza.

Setiap jenis kuah ini pula mengandungi nilai kalori, gula, garam dan lemak tersendiri.

Apabila kesemua jenis kuah ini dicampurkan bersama-sama, jumlah kalori dalam satu pinggan nasi akan bertambah banyak.

Ini tidak termasuk kalori daripada lauk-pauk lain yang dihidangkan bersama nasi tersebut.

Sekiranya kita makan seperti ini setiap hari, tidak hairanlah jika berat badan kita akan naik dengan cepat dalam masa yang singkat.

Berikut adalah perbandingan nilai kalori bagi hidangan biasa dengan hidangan bersama kuah banjir untuk penilaian anda:

– Nasi kandar (572 kcal) vs nasi kandar kuah banjir (1112 kcal)
– Roti canai kuah kari (632 kcal) vs roti canai kuah kari banjir (1182 kcal)
– Nasi kukus ayam berempah (565 kcal) vs nasi kukus ayam berempah kuah banjir (1115 kcal)

Faktor-faktor lain penyebab obesiti

Selain daripada budaya makan kuah banjir tersebut, terdapat juga faktor lain yang boleh membawa kepada berlakunya obesiti.

Antaranya seperti kurang bersenam, tidur yang tidak mencukupi, skip sarapan pagi, dan minum minuman manis setiap hari.

Semua ini boleh membantu dalam penambahan berat badan dan akhirnya membawa kepada obesiti.

Jika anda kerap makan nasi kuah banjir dan tidak bersenam, maka kalori dalam badan tidak akan berkurang dan lemak juga akan semakin bertambah.

Apatah lagi jika anda makan nasi kuah banjir ditemani secawan teh tarik, ia adalah satu mimpi ngeri untuk berat badan anda.

Tips jika masih ingin makan nasi kandar kuah banjir

Jika masih ingin menambah kuah banjir dalam pinggan nasi anda, ada beberapa cara yang boleh anda amalkan untuk menjadikannya lebih sihat. Antaranya:

– Anda boleh mengurangkan jenis kuah yang diambil, cukup satu atau dua jenis kuah sahaja
– Minta kurangkan kuantiti kuah yang diletakkan pada nasi
– Anda juga boleh memilih untuk menambah kuah yang lebih sihat seperti kuah bening atau kuah daripada lauk sayur-sayuran
– Kurangkan nasi dan kuah, tetapi lebihkan sumber protein dan sayuran
– Minta asingkan kuah dalam mangkuk kecil lain
Dengan cara ini, anda masih boleh menikmati nasi kandar kuah banjir, tetapi dengan cara yang lebih terkawal dan juga sihat.

Kesimpulan

Walaupun kuah banjir adalah sebahagian daripada budaya makanan kita orang Malaysia, namun kita perlu sedar bahawa ia boleh membawa kepada penambahan berat badan dan obesiti jika tidak dikawal.

Oleh itu, kita perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan kita dan sentiasa memastikan bahawa kita menjalani gaya hidup yang sihat.

 

Author

Pilihan Editor