HomeBeritaMahkamah & JenayahGara-gara air oren, pekerja Bangladesh maut ditikam rakan

Gara-gara air oren, pekerja Bangladesh maut ditikam rakan

SHAH ALAM: Niat seorang lelaki warga Bangladesh untuk berbuka puasa terbantut, selepas ditikam rakan sekerjanya di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, di sini, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, punca kejadian disebabkan suspek warga Pakistan itu berang apabila air orennya diminum oleh mangsa berusia 49 tahun tersebut ketika berbuka puasa.

“Suspek berumur 51 tahun itu seterusnya bertindak menikam pekerja am itu beberapa kali menggunakan pisau, yang diambil daripada dapur,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada sekitar 7.20 jam malam.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan pada kira-kira 10 minit kemudian di lokasi kejadian, manakala pisau yang digunakan untuk menikam mangsa turut dirampas.

Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa dan suspek tinggal bersama-sama di dalam kontena, yang dijadikan sebagai asrama di kilang berkenaan.

Tambahnya, suspek akan direman pada Rabu manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asistan Superintenden Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597 bagi membantu siasatan.

 

Author

Pilihan Editor