HomeBeritaLelaki maut terhantuk batu di Kuala Krai

Lelaki maut terhantuk batu di Kuala Krai

KUALA KRAI: Seorang lelaki maut apabila kepalanya terhantuk pada batu, selepas terjatuh dari bukit ketika menebas kawasan kebun di Kampung Chenulang, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.56 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan mendapati, mangsa mengikut beberapa penduduk Kampung Chenulang untuk menebas kawasan kebun.

Menurutnya, semasa tiba di atas bukit, mangsa bersandar pada sebatang pokok sebelum tiba-tiba terjatuh dan kepalanya terhantuk batu.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat.

“Pemeriksaan awal pada badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur-unsur jenayah yang dikaitkan dengan kematiannya,” katanya dalam kenyataan.

Kamarulzaman berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Author

Pilihan Editor