HomeSukanPemain bola sepak remaja mati mengejut terkena tendangan di perut

Pemain bola sepak remaja mati mengejut terkena tendangan di perut

 

SEORANG pemain bola sepak remaja maut berikutan tendangan di perut semasa perlawanan.

Wassim Jazzar, pemain berusia 17 tahun untuk kelab amatur Algeria, terkena tendangan itu ketika bertembung dengan pemain pertahanan lawan.

Menurut laporan The Sun, semasa dia cuba untuk merebut bola, dia secara tidak sengaja ditendang di perut oleh pemain lawan dan serta-merta rebah ke atas padang.

Bimbang dengan kecederaan yang dialaminya, pengadil memberhentikan permainan dan pemain dari kedua-dua pasukan mengerumuninya untuk memberi bantuan.

Laporan tempatan menyatakan tiada ambulans atau doktor di kawasan sekitar sehingga Wassim terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan kereta biasa.

Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia dengan ‘tendangan maut’ dikatakan sebagai punca kematian.

Mundo Deportivo mendakwa Wassim mati serta-merta selepas tendangan itu menurut laporan pemberita.

Kematian yang menyedihkan itu berlaku sejurus selepas bola sepak Colombia dikejutkan dengan berita Guillermo Beltran rebah semasa latihan.

Penyerang Real Santa Cruz itu mengadu pening dan loya sebelum rebah ke atas padang pada Jumaat.

Kakitangan kelab bermati-matian cuba memulihkan penyerang itu dan segera menghubungi ambulans selepas usaha mereka untuk menyedarkannya gagal.

Tetapi dia meninggal dunia ketika dia dibawa ke hospital.

Pihak Bolivia, Real Santa Cruz mengumumkan kematiannya dalam satu kenyataan di laman media sosial mereka.

Pengarah Real Santa Cruz Adolfo Soria Galvarro berkata mengenai tragedi itu: “Dia berlatih seperti biasa dan kemudian dia rebah.

“Mereka cuba menyelamatkannya tetapi dia meninggal dunia ketika dia dipindahkan ke klinik,” katanya.

Author

Pilihan Editor