HomeBeritaMahkamah & Jenayah2 anggota polis peras ugut lelaki di BSI ditahan

2 anggota polis peras ugut lelaki di BSI ditahan

POLIS menahan dua anggotanya yang dipercayai melakukan pemerasan sebanyak RM2,000 terhadap seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dekat Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Johor, CP M Kumar, kedua-dua anggota berusia 32 dan 33 tahun yang bertugas di BSI itu, ditahan pada jam 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Beliau berkata, satu laporan polis diterima pada jam 12.23 tengah malam Jumaat, berhubung seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun, yang mendakwa telah diperas ugut oleh dua anggota terbabit pada Selasa.

“Siasatan awal mendapati, semasa mangsa melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen, dia telah ditahan oleh dua suspek kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kemudian, suspek telah memeras ugut mangsa supaya membayar wang berjumlah RM2,000, bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata, hasil ujian saringan air kencing kedua-dua anggota berkenaan adalah negatif daripada segala jenis dadah, manakala perintah reman terhadap mereka bagi membantu siasatan dikenakan selama tiga hari sehingga 8 April depan

Katanya, Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

 

Author

Pilihan Editor