HomeBeritaBawa keluar keluarga Muhammad Nadir dari Gaza tanda PM prihatin

Bawa keluar keluarga Muhammad Nadir dari Gaza tanda PM prihatin

KEJAYAAN membawa keluar keluarga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dari Gaza merupakan tanda keprihatinan Perdana Menteri terhadap kebajikan rakyat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, kejayaan tersebut juga adalah tanda kebijaksanaan kepimpinan Datuk Seri Anwar yang cukup dihormati dunia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesungguhan YAB Perdana Menteri sehingga berjaya menyatukan keluarga Saudara Nadir Al-Nuri, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia.

“Kejayaan ini telah menzahirkan keprihatinan tinggi YAB Perdana Menteri kepada soal kebajikan rakyat selain daya kebijaksanaan kepimpinan beliau yang cukup dihormati dunia sehingga misi besar menyatukan keluarga saudara Nadir Al-Nuri yang sebelum ini berada di Palestin telah terlaksana dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak untuk terus bersama-sama dengan Perdana Menteri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan menuntut keamanan dan kesejahteraan negara Palestin.

“Marilah bersama-sama dengan keberkatan bulan Syawal ini, kita memperkukuh kesatuan dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala agar dikurniakan kesejahteraan dan keberkatan buat rakyat Palestin,” katanya.

Pada Isnin, Muhammad Nadir memaklumkan bahawa, Anwar merupakan watak utama dalam misi membawa keluarganya keluar dari Gaza.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, kisah tersebut bermula apabila beliau sempat memaklumkan kepada CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Beliau kemudian dihubungi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dan akhirnya disatukan dengan keluarganya.

Sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu, Israel telah membunuh lebih 33,000 penduduk di Gaza dan memusnahkan rumah serta infrastruktur awam termasuk hospital dan pusat pendidikan.

Author

Pilihan Editor