HomeBeritaWaspada mastautin, melancong di Timur Tengah

Waspada mastautin, melancong di Timur Tengah

RAKYAT Malaysia yang sedang bermastautin atau melancong ke kawasan Timur Tengah dinasihati untuk kekal berwaspada, serta terus mengikuti perkembangan situasi semasa berhubung pergolakan di Iran.

Menurut Kementerian Luar Negeri (KLN), rakyat negara ini juga perlu sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan jadual penerbangan dan disarankan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran di alamat No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb.

“Mereka juga boleh menghubungi talian +98 21 880724444 dan +98 21 88078606. Sementara itu, emel kedutaan, mwtehran@kln.gov.my atau mwconsular.teh@gmail.com,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, KLN memaklumkan bahawa, Malaysia juga sedang memantau situasi terkini di Timur Tengah.

“Dalam hal ini, Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk meredakan ketegangan dan berusaha untuk mencari jalan penelesaian diplomatik,” katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Malaysia bersedia membawa pulang rakyat negara ini yang berada di Iran susulan serangan rejim Israel.

Israel pada Jumaat turut melancarkan serangan ke atas Iran sebagai tindakan balas terhadap serangan Tehran pada hujung minggu lalu.

Tel Aviv sebelum ini memberi amaran akan melakukan serangan semula, selepas Iran melancarkan 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel yang kebanyakannya telah dipintas.

Serangan Tehran itu bagi membalas tindakan Israel mengebom konsulat Iran di Damsyik awal bulan ini.

 

Author

Pilihan Editor