HomeBeritaAnwar umum tambah baik struktur gaji penjawat awam pada Hari Pekerja

Anwar umum tambah baik struktur gaji penjawat awam pada Hari Pekerja

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan cadangan penambahbaikan struktur kadar pendapatan bersih penjawat awam pada perhimpunan Hari Pekerja, 1 Mei depan.

Menurut Anwar, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam pada Jumaat.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini (Jumaat) hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya ingin tegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam), di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Pada masa sama, beliau berharap agar usaha tersebut bakal menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

 

 

Author

Pilihan Editor