HomeBeritaHajat ke sekolah tidak kesampaian, dua beradik maut dilanggar lari

Hajat ke sekolah tidak kesampaian, dua beradik maut dilanggar lari

SUNGAI SIPUT: Hajat dua beradik ke sekolah tidak kesampaian apabila mereka maut dilanggar lari oleh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di KM38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika motosikal ditunggangi mangsa, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh Norazlan, 13, dirempuh dari arah bertentangan semasa  menuju ke sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala Ipoh memasuki simpang ke sebelah kanan iaitu di persimpangan Taman Desa Salak secara tiba-tiba.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda terbabit merempuh motosikal Honda EX5 yang ditunggangi dua pelajar lelaki berkenaan yang dari arah bertentangan iaitu dari arah Ipoh menghala Kuala Kangsar.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua pelajar SMK Simpang Beluru berkenaan maut di tempat kejadian. Mayat kedua-dua pelajar itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat,” katanya lapor Berita Harian.

Mohd Khaizam berkata,  sehingga kini masih belum ada sebarang laporan polis mengenai kemalangan itu.

Jelasnya, pihak polis kini sedang giat mengesan pemandu dan pemilik kenderaan pacuan empat roda itu yang disyaki melarikan diri.

Susulan itu,orang awam yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Kasidi Che Ghani di talian 014-5073473 bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor