HomeGlobalIran beri amaran, miliki 9 jenis peluru berpandu mampu hancurkan wilayah Israel

Iran beri amaran, miliki 9 jenis peluru berpandu mampu hancurkan wilayah Israel

TEHRAN: Iran mempunyai sembilan jenis peluru berpandu dengan jarak yang mencukupi untuk menyerang wilayah Israel, jika berlaku konflik bersenjata antara kedua-dua negara, lapor agensi berita Iran ISNA.

Infografik yang dibentangkan oleh agensi berita itu pada Ahad mendedahkan beberapa peluru berpandu balistik Iran – Sejjil, Kheibar, Emad, Shahab-3, Ghadr, Paveh, Fattah-2, Kheibar Shekan, dan Haj Qasem – yang kelajuannya sekitar antara Mach 5 hingga Mach 14 (daripada 3,836 batu sejam kepada 10,741 batu sejam).

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah lama mahu melakukan tindakan ketenteraan terhadap Republik Islam itu yang merupakan pengkritik Israel, tetapi negara yang mempunyai 88 juta penduduk itu memiliki keupayaan pertahanan yang tinggi, lapor Sputnik.

Peperangan ke atas Iran juga menimbulkan kemungkinan penglibatan oleh sekutu Tehran, Rusia, manakala Netanyahu mungkin mengharapkan bantuan daripada Amerika Syarikat (AS).

Pada 1 April, Israel melakukan serangan udara ke atas bangunan konsular Kedutaan Iran di Damsyik, memusnahkan bangunan itu.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berkata, tujuh anggotanya terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua komander.

Pada Selasa lalu, Kementerian Kesihatan Syria berkata, serangan itu juga telah membunuh empat rakyat Syria dan mencederakan 13 lagi.

Kementerian Luar Iran berkata, ia berhak untuk bertindak balas terhadap serangan Israel dan menghukum penyerang. Presiden Iran, Ebrahim Raisi juga berikrar Israel akan membayar harga yang mahal untuk serangan itu.

“Tiada satu pun kedutaan rejim (Israel) selamat lagi,” kata penasihat tentera Iran, Jeneral Rahim Safavi pada Ahad, membayangkan negara itu boleh melakukan serangan yang sama seperti dilakukan Israel.

Iran adalah pembela tegar perjuangan Palestin di rantau ini – sokongan padu terhadap Palestin adalah prinsip negara yang diasaskan oleh Revolusi Islam 1979, yang menggulingkan keluarga diraja Pahlavi yang disokong AS.

Dasar luar negara itu berakar umbi dalam penentangan kuat terhadap imperialisme AS, yang meninggalkan legasi yang berkekalan di negara Parsi itu.

Author

Pilihan Editor