HomeBeritaKKR kerjasama dengan 2 kementerian tangani isu selenggara jalan raya

KKR kerjasama dengan 2 kementerian tangani isu selenggara jalan raya

CYBERJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara kementerian bagi menangani isu-isu berkaitan dengan penyelenggaraan jalan raya.

Menurut KKR, ia berikutan bidang kuasa serta penguatkuasaan ketiga-tiga kementerian berkenaan yang saling berhubung kait dan memerlukan sinergi padu dalam mengatasi pelbagai isu mengenainya.

Menurutnya lagi, sesi libat urus kerjasama di KKR pada Isnin dihadiri oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; serta pengurusan tertinggi ketiga-tiga kementerian.

“Sesi itu membincangkan jalinan kerjasama rentas kementerian dalam mencari mekanisme terbaik menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing.

“Perkara utama lain yang turut dibincangkan dalam sesi libat urus ini termasuklah pengukuhan kerjasama antara kementerian bagi menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan,” menurut KKR dalam kenyataan pada Selasa.

Dilancarkan pada 24 Ogos 2023 sehingga 29 Mac lepas, KKR berkata, aplikasi MYJalan telah menerima 13,391 aduan berkaitan pelbagai isu jalan raya dengan 26.51 peratus aduan melibatkan jalan milik KKR.

“Justeru, sesi libat urus ini amat signifikan dalam memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan dengan penglibatan serius pihak-pihak pemilik jalan yang lain demi memastikan keselesaan dan keselamatan pemanduan rakyat,” menurut kenyataan itu.

 

Author

Pilihan Editor