HomeBeritaMCMC sita telefon bimbit, kad SIM Aliff Syukri untuk siasatan lanjut

MCMC sita telefon bimbit, kad SIM Aliff Syukri untuk siasatan lanjut

KUALA LUMPUR: Telefon bimbit dan kad SIM milik usahawan, Datuk Aliff Syukri  disita Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan memuat naik video lagu hari raya kontroversi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, peralatan komunikasi terbabit dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

“Saya difahamkan selepas beliau dipanggil dirakam percakapan di Ibu Pejabat MCMC tempoh hari, telefon bimbit dan kad SIM beliau disita dan dihantar ke forensik untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang maklumat terperinci,” katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan, MCMC akan meneliti klip video lagu hari raya yang dimuat naik Aliff Syukri selepas mendapat kecaman orang ramai.

Fahmi dilaporkan berkata, beliau juga ada menonton sebahagian video terbabit dan melihat komen daripada netizen yang meminta pihaknya mengambil tindakan.

Menurutnya, walaupun video itu difahamkan sudah dipadam tetapi beliau meminta MCMC untuk meneliti perkara ini, lapor Berita Harian.

Author

Pilihan Editor