HomeBeritaPolitikPN umum ahli perniagaan calon PRK Kuala Kubu Baharu

PN umum ahli perniagaan calon PRK Kuala Kubu Baharu

PERIKATAN Nasional (PN) mempertaruhkan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang diadakan pada 11 Mei ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakan Utama Oasis Seksyen 4, Bandar Utama Batang Kali, Selangor pada Khamis.

Muhyiddin berkata, Khairul Azhari yang berusia 54 tahun itu merupakan anak jati Hulu Selangor dan merupakan seorang ahli perniagaan.

“Beliau mendapat pendidikan antaranya di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Tengi, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Soeharto di Kuala Kubu Baharu, Universiti Malaya (UM) dengan jurusan Diploma Eksekutif Pengurusan dan Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Khairul Azhari kini memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Global Valley Venture Sdn Bhd, dan sebelum ini pernah bertugas sebagai Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor; Pengurus Besar di Petrogas Resources; Ketua Jabatan Minyak dan Gas di Damini Corporation; dan Eksekutif Kewangan di Bursa Malaysia.

“Dari segi penglibatan politik, beliau adalah pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor mulai 2023 hingga kini, dan pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor (2019 hingga 2023), serta Naib Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor (2016 hingga 2019),” katanya.

Turut hadir pada majlis sama adalah Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Siaran langsung majlis itu turut disiarkan di laman Facebook rasmi PN.

Pada Rabu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Pang Sock Tao sebagai calonnya pada pilihan raya tersebut.

Pang, 31, berasal dari Ampang, Selangor itu merupakan pembantu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan pernah bertugas sebagai penerbit Ubah TV.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, dan 27 April pula sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Author

Pilihan Editor