HomeBeritaUMNO beri bantuan guaman kepada Akmal Saleh

UMNO beri bantuan guaman kepada Akmal Saleh

DR Muhamad Akmal Saleh yang kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan diberi bantuan guaman oleh UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, bantuan guaman kepada Ketua Pemuda parti itu akan disalurkan menerusi peguam dan Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau sudah menghubungi Dr Muhamad Akmal yang ditahan polis untuk proses mengambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu, Sabah.

“Alhamdulillah, beliau berada dalam keadaan baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan tugas.

“Menurut Dr Akmal, beliau sepatutnya dijadualkan dipanggil memberikan keterangan di Kuala Lumpur esok, namun ditahan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Tangkap layar hantaran Asyraf Wajdi laman Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal dibebaskan selepas memberi keterangan selama lebih dua jam di IPD Kota Kinabalu pada Jumaat pagi.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima dua laporan melibatkan ucapan dan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, siasatan dijalankan ke atas Dr Muhamad Akmal adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

Pada Jumaat, EXCO Kerajaan Negeri Melaka dalam hantaran di Facebook memaklumkan telah ditahan pihak polis, meskipun beliau sepatutnya dijadualkan memberi keterangan di IPD Dang Wangi dekat ibu negara pada Sabtu.

Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut mengesahkan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Author

Pilihan Editor