HomeBeritaUpacara pengebumian 10 wira tragedi helikopter terhempas selesai - TLDM

Upacara pengebumian 10 wira tragedi helikopter terhempas selesai – TLDM

UPACARA pengebumian 10 jenazah wira Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas telah selesai sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari Khamis.

TLDM menerusi kenyataan memaklumkan bahawa, upacara pada Khamis membabitkan Mendiang Leftenan T.Sivasutan.

Menurut TLDM, upacara sembahyang telah dilaksanakan mulai jam 9 pagi di rumah waris mendiang, dekat Lumut, Perak, sebelum jenazah dibawa ke Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram diiringi anggota kawalan TLDM untuk penghormatan terakhir.

“Sementara itu, penghormatan terakhir kepada Mendiang Laskar Kanan JJM, Joanna Felicia anak Rohna turut diberikan ketika upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh, Serian, Sarawak pada jam 11.33 pagi.

“Pengibaran bendera separuh tiang telah dilaksanakan sejak 24 April dan tamat sejurus upacara pengebumian terakhir pada hari ini (Khamis) selesai.

“TLDM sekali lagi mengucapkan salam takziah kepada keluarga 10 wira TLDM yang terlibat dalam tragedi ini. Pemergian mereka amat dirasai oleh seluruh warga Navy People dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, jenazah lapan mangsa selesai disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh kira-kira jam 6 petang.

Van yang membawa jenazah mangsa beragama Islam itu tiba di kem berkenaan pada jam 4.50 petang sebaik proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selesai jam 2.20 petang, sebelum dimandi dan dikafankan.

Jenazah lapan pegawai dan anggota TLDM itu disembahyangkan di Surau Jumaat Salahudin Al-Ayubi Kem 23 RAMD yang diimamkan Pegawai staf 1 agama Markas Tentera Laut, Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah.

Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi Selasa, bagi menjalani raptai untuk bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90 yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Kedua-duanya kemudian dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.

Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat dikongsi TLDM, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

 

Author

Pilihan Editor