HomeBeritaGaji penjawat awam naik lebih 13 peratus Disember ini - PM Anwar

Gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus Disember ini – PM Anwar

BERITA baik buat penjawat awam apabila mereka bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, mulai 1 Disember depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kadar itu merupakan tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam.

Anwar berkata, sebelum ini, ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya pada Rabu.

Beliau berkata, kenaikan gaji itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion, berikutan jumlahnya yang besar dan agak lumayan.

“Ini adalah kenaikan paling baik dalam negara.

“Kita juga akan meneliti dari segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya),” katanya.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

Anwar berkata, perkara itu terkandung di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan ketika ini.

“Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan. Saya setuju tidak munasabah.

“Sudah 12 tahun (tidak disemak) dan pimpinan silih berganti, belum ada kajian secara serius.

“Pada semua rakan termasuk Ketua Setiausaha Negara; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam, saya ucapkan terima kasih serta tahniah kerana bekerja bertungkus-lumus untuk membantu.

“Susah dan letih bagaimanapun, saya lega kerana kita tunaikan amanah ini kepada rakyat termasuk pekerja,” katanya.

Author

Pilihan Editor