HomeBeritaKenaikan gaji lebih 13 peratus penghargaan kepada penjawat awam - Cuepacs

Kenaikan gaji lebih 13 peratus penghargaan kepada penjawat awam – Cuepacs

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan bahawa, pengumuman kerajaan berhubung kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember ini sebagai penghargaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam negara yang meletakkan negara di landasan kukuh.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengambil langkah berani dalam mempercepat pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu, selepas tiada sebarang tindakan drastik diambil kerajaan untuk memperbaiki struktur gaji penjawat awam. 

“Peningkatan yang dijangka melebihi 13 peratus itu sudah tentu memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam di semua peringkat kerana ia akan meningkatkan gaji bersih boleh guna mereka.

“Tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti telah dicurahkan kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Adnan menyeru penjawat awam untuk terus bersama kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan sektor ekonomi, serta melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab. 

“Tingkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dengan keperluan semasa rakyat dan sektor ekonomi.

“Komitmen tinggi penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan akan memberikan kesan positif kepada negara,” katanya. 

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 memaklumkan, keputusan kerajaan pada 8 Mac 2012 berhubung kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana, manakala kenaikan antara tujuh hingga sembilan peratus bagi pegawai dalam kumpulan pengurusan tertinggi.  

Terdahulu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah SSPA yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga mencapai melebihi RM2,000 sebulan.

 

Author

Pilihan Editor