HomeBeritaSambung kontrak lagi setahun, Azam Baki kekal KP SPRM

Sambung kontrak lagi setahun, Azam Baki kekal KP SPRM

KONTRAK Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambung untuk tempoh satu tahun lagi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pelantikan semula Azam itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkuat kuasa 12 Mei ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam,” katanya.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Berusia 61 tahun, beliau sepatutnya bersara wajib pada Mei tahun lalu, namun kontraknya disambung bagi tempoh setahun lagi yang berakhir bulan ini.

Beliau berpengalaman selama 40 tahun dalam SPRM dengan memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984.

Author

Pilihan Editor