HomeBeritaWanita maut, kereta terbabas ke dalam sungai

Wanita maut, kereta terbabas ke dalam sungai

SEORANG wanita maut dipercayai akibat lemas selepas Perodua Alza dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam sungai di Jalan Lahar Kepar, Penaga, dekat Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu pagi.

Mangsa dikenali sebagai Siti Hawa Mohd Isa, 40, disahkan meninggal dunia selepas terperangkap dalam Perodua Alza tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, JBPM Pulau Pinang menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.39 pagi.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah dikejarkan ke lokasi kejadian bersama jentera LFRT.

Komander Operasi Kanan Bomba, Mohamad Yazi Taib memaklumkan, unit khas pasukan penyelamat di air (PPDA) daripada BBP Butterworth turut hadir bagi membantu kerja-kerja penyelamatan.

“Unit khas PPDA telah menemukan kereta berkenaan di dasar sungai bersama seorang wanita dewasa yang terperangkap di dalamnya.

“Mangsa dibawa keluar oleh pasukan penyelamat pada jam 9.55 pagi namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam hantaran tersebut.

Seramai 11 keanggotaan termasuk anggota PPDA bersama kenderaan Mitsubishi Triton telah melakukan operasi penyelamatan tersebut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.06 pagi.

Author

Pilihan Editor