CYBERJAYA: Video tular yang mempromosi nasi kandar dengan hidangan daging babi baru-baru ini amat mengelirukan umat Islam, kata Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.
Mufti Terengganu itu berkata, masyarakat secara sepintas lalu akan menganggap nasi kandar sebagai halal apabila disebut mengenai makanan tersebut.
“Bila sudah viral ada versi haram maka ia mengejutkan umat Islam.
“Oleh itu, masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam soal pemilihan restoran.
“Dalam pada itu, logo halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sewajarnya menjadi keutamaan dalam memilih restoran yang patuh syariah, di samping menyemak tarikh tamat pengiktirafan halal tersebut,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bantahan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) terhadap promosi premis yang menjual menu nasi kandar berlaukkan daging babi, yang didakwa akan menimbulkan kekeliruan.
Terdahulu, Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan dilapor berkata, tindakan itu dianggap sebagai bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia, yang diketahui dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun.
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilapor berkata, orang bukan Islam bebas menghidangkan makanan tidak halal seperti nasi yang berlaukkan daging khinzir.
Katanya, ia adalah sebagaimana diketahui bahawa orang bukan Islam tidak terikat dengan hukum Islam.
Namun, jelasnya, mana-mana premis yang menjual makanan tidak halal perlu memaparkan iklan atau notis untuk memaklumkan status makanan tersebut supaya tidak dimakan oleh penganut Islam.