HomeHiburanSyamsul dah bagi 'warning', hati-hati - Geoff Andre

Syamsul dah bagi ‘warning’, hati-hati – Geoff Andre

PETALING JAYA: “Syamsul ada bagi ‘warning’ pada aku, dia cakap berhati-hati la berada di mana-mana,” demikian kata pelakon versatil, Geoff Andre Feyaerts.

Geoff Andre, nampaknya sudah bersiap sedia jika lakonan yang dibawanya, memberi kesan emosi kepada penonton filem biografi epik, Mat Kilau yang bakal ditayangkan secara umum pada 23 Jun ini.

Penampilan pelakon kelahiran Belgium itu secara individu dilihat sangat berbeza berbanding ketika membawa watak paling antagonis dalam filem berkenaan.

Beliau membawa watak penjajah British, Kapten Syers.

Geoff Andre dalam selorohnya berkata, beliau mengharapkan tiada yang menyedari dirinya ketika berada di mana-mana ketika ini, selain mahukan penyampaian wataknya berkesan di hati penonton.

“Lain hari tu (watak dalam filem) buat rambut ‘blonde’ kan? Harapnya tiada yang perasan la. Aku ‘anonymous’.

“Memang Syamsul (Yusof) ada mengingatkan supaya berhati-hati selepas ini walaupun jalan ke pasar malam. Insha Allah (tak berlaku apa-apa),” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI.

Beliau ditemui selepas tayangan perdana Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di pawagam GSC Starling Mall di sini, baru-baru ini.

Filem berdurasi 1 jam 57 minit arahan Syamsul Yusof dan penerbitnya, Abdul Rahman Dali itu menelan belanja RM8 juta menampilkan Datuk Adi Putra memegang watak utama sebagai Mat Kilau.

Pelakon utama lain termasuk Fattah Amin sebagai Awang, Beto Kusyairy (Wahid), Johan As’ari (Yassin), Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Dato’ Jalaluddin Hassan (Haji Muhammad) dan Dato Rahim Razali (Imam Bottoqh).

Selain itu Namron (Haji Sulong), Shaharuddin Thamby (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty (ibu Yassin).

Filem berkenaan turut menampilkan pelakon Hollywood dan aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian.

Geoff Andre turut berterima kasih kepada Shamsul kerana memberi peluang kepadanya untuk menggalas watak dalam filem itu, malah memuji usaha pengarah itu sehingga berjaya merealisasikan naskhah pahlawan tanah Melayu yang hebat.

“Terima kasih kepada Syamsul, dia berjaya menjadikan ia realiti. Jadi, aku pun berharap, cukup jahat dalam filem itu,” katanya.

Jejaka tampan yang sudah memiliki isteri, dan cahaya mata itu juga turut kagum dengan semangat orang Melayu bermati-matian mempertahankan tanah air tercinta, yang ditonjolkan melalui filem terbabit.

“Semangat yang dibawa pahlawan Melayu mempertahankan tanah air, sangat ‘rare’. Sebab itu pengarah memilih Mat Kilau sebagai subjek filem ini, sebab semangat yang rare.

“Diharap, filem ini bukan sahaja boleh memberi semangat orang Malaysia tetapi semua umat Islam satu dunia,” katanya.

Author

Pilihan Editor