HomeMV+PendapatBela Siti Nuramira atau bela perbuatannya hina Islam?

Bela Siti Nuramira atau bela perbuatannya hina Islam?

SEMALAM wanita yang ditahan reman atas dakwaan menghina Islam dan kekasihnya telah dibebaskan setelah wang ikat jamin RM40,000 telah berjaya dikumpul.

Persoalan yang timbul sekarang siapakah penderma yang sanggup mengeluarkan wang untuk mencukupkan jumlah RM40,000 bagi membebaskan pasangan kekasih yang ditahan atas dakwaan menghina Islam semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu?

Bukan sedikit jumlahnya, tetapi ia berjaya dikumpul dalam 48 jam sebagai ikat jamin mereka setelah hakim memutuskan jumlah itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

Mengesahkan perkara itu, peguam, R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira Abdullah, 26, dan V Alexander Navin, 38, berkata, jumlah ikat jamin itu merupakan kutipan sumbangan orang ramai menerusi akaun bank pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, ‘Lawyers for Liberty’ (LFL).

Duit jaminan adalah bertujuan untuk memastikan Orang Kena Tuduh (Siti Nuramira dan Alex) hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan kes mereka.

Dalam isu ini ada dua golongan iaitu pihak yang membela pasangan itu dan pihak yang menentang.

Semua orang pastinya faham kenapa menentang tidak perlu dijelaskan lagi.

Analisis kewartawanan penulis, pihak yang membela pula terdiri daripada dua golongan iaitu bukan Islam dan dalam kalangan orang Islam sendiri kerana mereka melihat perbuatan pasangan itu sekadar sindiran kepada golongan hipokrit.

Mereka berpendapat Siti Nuramira hanya seorang individu yang berani menampilkan dirinya sebenar, seorang lepasan sekolah agama tahfiz, hafal 15 juzuk al-Quran, berpakaian menutup semua tetapi sebenarnya dirinya sebenar mahukan kebebasan.

Walaupun pahit realitinya, inilah sebenarnya berlaku dalam masyarakat kita hari ini, negara dikejutkan dengan berita pak lebai menonton filem porno, penasihat agama dirakam videonya masuk kelab malam di sebelah wanita berpakaian mendedahkan lurah payudaranya.

Ada pemimpin politik agama pula yang haramkan panggung wayang tetapi boleh hadir pula ke filem Mat Kilau, ada yang sanggup haramkan parti lawan demi politik dan macam-macam lagi kisah hipokrit yang didedahkan sebelum ini.

Sikap hipokrit inilah menjadi punca Islam dipersendakan dan semakin ramai pula yang sama-sama ikut rentak.

Ada pula yang mempersoalkan kenapa lelaki Cina yang persenda azan baru-baru ini tidak didakwa?

Kenapa ada ustad yang menceritakan di YouTube mengenai perpindahan roh tidak didakwa? Beliau hanya mohon maaf.

Kenapa kakak berhijab dan menampakkan payudaranya serta dibiarkan lelaki bukan mahram menyentuhnya di Terengganu tidak didakwa atau kedainya ditutup?

Pertikaian dan rasa tidak puas hati ini akan banyak ditimbulkan netizen di media sosial seperti Facebook dan lain-lain.

Ditambah pula generasi hari ini sudah lupa sejarah, sudah membelakangkan adat dan adab Melayu yang memberi garis panduan ‘do’ and ‘don’t’ hidup bermasyarakat.

Itulah kesilapan sebenar Siti Nuramira, Alex, si mata juling dan lain-lain. Mereka lupa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, itu kata Melayu dahulu.

Perbuatan mereka tidak diterima dalam majoriti masyarakat Islam negara ini, ia menyebabkan agama Islam disalahertikan dan dipandang hina oleh orang lain.

Jadi apakah solusinya? Malaysia sudah ada Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Ketatasusilaan yang perlu diperkasa atau dikuat kuasa sebagai bentuk undang-undang dan pendidikan.

Ketika ini sekolah-sekolah termasuk tahfiz tidak menekankan aspek rukun negara ke lima ini, ada rakyat yang ditemui tidak tahu langsung Rukun Negara ini.

Hukuman berat tidak beri jaminan isu ini tidak berlaku lagi di masa depan, dengan dunia di hujung jari manusia boleh berubah perilaku sekelip mata jika tiada asas yang kukuh dalam diri.

Orang Melayu dahulu kata biar mati anak jangan mati adat kerana tanpa adat hilanglah identiti dan maruah bangsa.

Kita lihat filem Mat Kilau hampir RM100 juta kutipan tiket wayang bukti orang Melayu mula bangkit mempertahankan agama, bangsa dan tanah air daripada segala bentuk penjajahan.

Tetapi memperkasakan sejarah, budaya, warisan, adat dan adab Melayu menuntut kuasa politik yang stabil untuk menjadikannya satu cabang pendidikan yang wajib.

Bermula di sekolah rendah hingga universiti, bukan hanya negara akan dipandang tinggi kerana adat dan adab tetapi sekurang-kurangnya masyarakat tanpa kira agama akan lebih menghormati satu sama lain dan diharap isu penghinaan seperti ini tidak berlaku lagi.

Author

Pilihan Editor