HomeBeritaBoleh hapus kasta B40, M40, T20 - Fahmi Fadzil

Boleh hapus kasta B40, M40, T20 – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR : Beberapa pemimpin bersetuju istilah pengkastaan B40, M40 dan T20 dihapuskan.

Ia berikutan, istilah yang masih diulang sehingga kini sudah mula membuka mata pelbagai pihak apabila ia dilihat tidak relevan lagi lebih-lebih lagi selepas tempoh pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Ketua UMNO Cawangan KLCC, Datuk Seri Dzulkarnain Taib dilaporkan mendakwa istilah B40, M40 itu adalah kasta dicipta oleh PH, dan menyeru kerajaan untuk menjalankan kajian terbaharu mengenai taraf ekonomi rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut senada dengan ahli UMNO itu bahawa pengkastaan berkenaan boleh dihapuskan kerana penggunaan istilah itu sudah tidak lagi dilihat relevan.

“Golongan kategori (pengkastaan) ini seakan tidak ada makna. Sebenarnya, ramai ahli Parlimen menerima laporan, mereka mula berkata bukan lagi B40 bukan lagi tetapi B60, itu jumlah yang sangat besar.

“Bagi saya, kita perlu lihat keadaan kawasan. Bandar lain, kampung, desa, pinggir bandar juga berbeza. Di Kuala Lumpur, ada cabaran tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jualan Amal Prihatin Mydin yang dihadiri warga Parlimen Lembah Pantai di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa, Taman Bukit Angkasa, di sini.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata, terma B40 (golongan berpendapatan rendah) sebenarnya bukan dilihat pada jumlah pendapatan, tetapi jumlah keseluruhan iaitu 40 peratus pendapatan terendah.

“Tidak kira pendapatan terendah sekalipun, ia (istilah) akan kekal diklasifikasi seperti itu selamanya.

“Bagi saya, statistik lebih tepat dikeluarkan oleh Ketua Perangkaan pada 2018, yang menunjukkan pendapatan diperlukan di Kuala Lumpur adalah bagi orang bujang, keluarga tiada anak dan keluarga anak tiga. Itu kita nampak angka munasabah berdasarkan realiti kehidupan,” katanya.

Justeru, beliau berharap langkah pertama diambil kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup sebenarnya adalah perancangan jelas mengenai jangka masa sederhana untuk program bersubsidi dan mekanisme pemberian subsidi.

Author

Pilihan Editor