HomeBeritaDiarah bayar Teresa RM300,000, Jamal akan fail rayuan

Diarah bayar Teresa RM300,000, Jamal akan fail rayuan

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos akan memfailkan notis rayuan keputusan perbicaraan di Mahkamah Rayuan,  selepas diarahkan membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Perbicaraan itu adalah berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Jamal memberitahu, beliau telah mendapat nasihat peguamcara yang baharu bahawa perjalanan perbicaraan kes berkenaan tidak mematuhi prosedur- prosedur yang ditetapkan.
“Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Arief Emran Arifin telah menolak permohonan saya untuk membuat semakan terhadap dokumen utama perbicaraan kes tersebut iaitu dokumen Perbendaharaan Negeri Selangor yang dikatakan berklasifikasi  ‘terhad’  mengikut Akta Rahsia Rasmi (ARR)1972.
“Pihak plaintif, sebelum perbicaraan dijalankan, pada saat-saat akhir telah menyerahkan Surat Bantahan untuk membantah dokumen-dokumen yang telah difailkan terlebih dahulu oleh peguam saya sejak lebih 18 bulan yang lalu. Plaintif memberi alasan bahawa dokumen tersebut adalah diklasifikasikan sebagai ‘Terhad’ di bawah ARR 1972,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bekas Menteri Industri Utama itu semalam memperoleh ganti rugi RM300,000, selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin dalam keputusannya membenarkan tuntutan saman Teresa selaku plaintif terhadap defendan, iaitu Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017.

Tambahnya, beliau  telah memohon untuk Penangguhan Penuh perbicaraan kes tersebut kerana memerlukan sedikit masa bagi melantik peguam baharu yang diyakini lebih berpengalaman mengendalikan kes seumpama ini bagi pihak dirinya
“Bagaimanapun, Yang Arif Hakim telah menafikan hak saya untuk melantik peguam yang baharu.
“Maka, sebab itulah saya tidak mengemukakan soal balas atau  pemeriksaan balas malahan tidak memanggil saksi-saksi pada sesi perbicaraan penuh berlangsung.
“Oleh sebab itu, saya telah melantik peguam baharu untuk memfailkan rayuan keputusan ini ke Mahkamah Rayuan kerana saya berpandangan bahawa keputusan hakim yang menolak permohonan saya untuk membuat semakan terhadap kesahihan dokumen yang dikatakan ‘Terhad’ ARR 1972, adalah salah.
“Semakan terhadap dokumen tersebut perlu dilaksanakan bagi mengesahkan samada ia benar-benar  berstatus ‘Terhad’ ARR 1972 atau adakah ia sebenarnya  hanyalah manipulasi pihak plaintif sahaja?
“Peguam baharu saya yang sekarang ini berada di London akan memfailkan notis rayuan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Author

Pilihan Editor