KANGAR: Golongan wanita perlu berani ke hadapan menceburi bidang keusahawanan khususnya menerusi platform e-dagang bagi mengubah nasib keluarga mereka, kata Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Asmaiza Ahmad.
“Lebih 80 peratus golongan wanita di negeri ini menceburi bidang keusahawanan dan peranan mereka hari ini sangat penting.
“Mereka menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada (ekonomi) masyarakat dan negara dan perkara ini terbukti apabila terdapat beberapa syarikat terkemuka yang diterajui oleh golongan wanita,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis di sebuah hotel di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Rafea’ah Nahar dan Pengarah KEMAS negeri, Mohamad Zaki Ismail.
Pada majlis itu Asmaiza turut menyampaikan Anugerah Ikon Usahawan KEMAS 2022 kepada Maizatul Ros Akmar Mat Nasir yang mengusahakan jahitan kreatif dan Ikon Usahawan Harapan KEMAS 2022 kepada Soleh Abd Rahim dari L’LEGACY Barber Shop. – BERNAMA