HomeGaya HidupNikmati kopi dalam suasana perkhemahan

Nikmati kopi dalam suasana perkhemahan

KUALA LUMPUR: Mahu mengabadikan saat indah dan santai menghirup aroma secangkir kopi ketika berkhemah menjadi inspirasi peniaga ini menjual kopi secara bergerak menggunakan van yang diubah seperti ‘campervan’ atau van perkhemahan.

Minat berkhemah sejak di bangku sekolah, pengasas jenama Kopi Kamper, Iqmal Fajri Abdul Muiz, 41, berkata pengalaman menikmati kopi dalam ketenangan rimba mahupun ketika dibuai deruan ombak di tepi pantai tentunya menjadi momen yang dirindui pengembara.

Bagi menaikkan ‘mood’, bekas eksekutif pengurusan acara itu turut menggayakan pakaian santai seakan-akan dalam perkhemahan sambil mengenakan topi memancing.

“Walaupun tidak boleh ‘bawa’ suasana dan kedamaian sebenar ‘mengopi’ ketika berkhemah, kita harap konsep ‘campervan’ ini sedikit sebanyak mampu mengimbau memori atau pun memberi pengalaman baharu kepada pelanggan ketika menikmati kopi,” katanya kepada Bernama.

Baru memulakan perniagaan sekitar Februari lepas, Iqmal Fajri bukan sahaja berniaga di beberapa tempat tumpuan di ibu negara seperti Taman Tasik Titiwangsa, di sini malah membawa van berwarna hitam merah itu menjelajah beberapa negeri lain termasuk Terengganu sebagai persinggahan.

“Berniaga dengan konsep ini juga rasa lebih bebas dan tidak terikat, berbanding dengan gerai fizikal yang kita perlu tunggu pelanggan datang, kita yang bergerak cari pelanggan selain kurang tertekan dengan sasaran jualan bulanan,” katanya.

Berkongsi lanjut, lulusan Ijazah Sarjana Muda Komputer Grafik itu membelanjakan hampir RM50,000 untuk kos membeli kenderaan serta mengubah wajah van tersebut menerusi kerja-kerja mengecat dan beberapa pemasangan aksesori serta peralatan.

Katanya proses membancuh kopi menggunakan mesin kopi espresso elektrik dijalankan di bahagian belakang van berbekalkan kuasa daripada jentera elektrik (generator) dan bekalan air minuman yang dibawa dalam bekas air.

Minuman itu ditawarkan dengan harga antara RM8 hingga RM12 dan Iqmal Fajri menggunakan biji kopi dari Brazil yang dipanggang di sebuah kilang tempatan untuk menghasilkan pelbagai minuman kopi seperti americano, latte dan cappucino.

Anak kelahiran Johor Bahru ini juga menampilkan kopi menggunakan resepi sendiri dalam bersaing menarik pelanggan antaranya campuran kopi espresso, susu segar dan gula Melaka yang dinamakan ‘kampergonuts’.

Menampilkan konsep yang sama Aini Mohd, 37, yang mula berjinak-jinak menjadi barista bagi memenuhi keinginan ibunya, seorang penggemar kopi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar dua tahun lepas.

“Ibu saya seorang yang gemarkan kopi bru, dan sering minta tolong saya belikan di kedai dan saya pula jenis tidak gemar keluar rumah malah kena memandu dan beratur panjang semata-mata untuk secawan minuman, jadi saya nekad untuk belajar buat sendiri menggunakan moka pot dulu,” katanya.

Mula berniaga kopi di rumah, anak bongsu daripada lima beradik itu kemudiannya menjual kopi di but kereta Perodua MyVi yang diubah suai menjadi ‘campercar’ sebelum membesarkan perniagaan dengan menggunakan van melalui jenama Sista Coffee Camper.

Tidak hanya bergerak bebas dan banyak menyasarkan kawasan tapak perkhemahan seluruh negara, Aini juga banyak menyertai acara selain menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya.

Beliau berkata bagi menampilkan produk berbeza, beliau dan pasukan juga berusaha mencipta resepi kopi berbeza antaranya ferrero salted caramel yang dihasilkan secara cuba jaya. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor