HomePendidikanJAZRO, Evo Mall anjur Karnival Robotik 16-17 Julai ini

JAZRO, Evo Mall anjur Karnival Robotik 16-17 Julai ini

BANGI: Akademi Robotik JAZRO (JAZRO) dengan kerjasama kompleks beli-belah Evo Mall akan menganjurkan Karnival Robotik dari Sabtu, 16 Julai hingga Ahad, 17 Julai ini.

Program dua hari ini menampilkan pelbagai aktiviti yang terdiri daripada sesi perkongsian STEM, permainan, cabutan bertuah dan bengkel yang mengajar kanak-kanak membina robot. Masuk adalah percuma dan yuran untuk menyertai pertandingan hanya RM5 seorang.

Karnival Robotik adalah suatu program kesedaran pendidikan STEM untuk kanak-kanak yang berumur antara 7 dan 17 tahun dan matlamat utamanya ialah untuk memberi pendedahan tentang dunia teknologi berkaitan robotik.

Ir. Dzulfarqeish

Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, pengasas bersama JAZRO berkata, pihaknya ingin kanak-kanak dan ibu bapa tahu bahawa pembelajaran robotik boleh menjadi menyeronokkan.

“Mulakan pembelajaran pada usia muda dan pupuk minat mereka dari situ. JAZRO teruja untuk berada di Bangi kali ini, jadi penduduk-penduduk di bandar-bandar sekitar dapat peluang untuk belajar tentang robotik dalam suasana yang kondusif di Evo Mall,” katanya.

Pengunjung ke program ini akan dapat melawat gerai-gerai pameran oleh PETROSAINS, Taman Realiti Maya (VR), Projek Mika, MDEC, dan Techlympics, untuk belajar tentang dunia digital dan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Mohd Fauzi

Menurut Mohd Fauzi Ibni Hajar, Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, program Karnival Robotik adalah untuk memupuk kanak-kanak dan belia untuk mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mewujudkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dalam meneruskan kehidupan moden ini,” katanya.

Program ini akan mengadakan pertandingan robotik dan pemenang-pemenang akan membawa pulang hadiah menarik.

Sementara itu, sebanyak 45 cabutan bertuah disediakan untuk menceriakan orang ramai sepanjang dua hari acara berlangsung.

“JAZRO mempunyai rekod prestasi dalam menganjurkan program seperti ini pada masa lalu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Sekarang, kami perluaskan program kami ke Pantai Barat dengan harapan lebih ramai kanak-kanak terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur dapat mengetahui asas-asas pengekodan dan robotik,” kata Ir. Dzulfarqeish.

Author

Pilihan Editor