HomeBeritaJHEAT siasat lelaki, wanita terlampau mesra di khalayak

JHEAT siasat lelaki, wanita terlampau mesra di khalayak

KUALA TERENGGANU : Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mahu mengambil tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2000 berhubung isu wanita terlampau mesra di khalayak di sebuah kedai makan di Setiu.

Bagaimanapun yang menjadi persoalan, adakah sekumpulan lelaki yang memeluk wanita berkenaan, bukan muhrim juga disiasat dan dikenakan tindakan?

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin dipetik berkata, pihaknya akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut undang-undang berkaitan.

“Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada.

“Tiada kompromi dalam hal sebegini kerana ia bukan hanya mencemarkan agama Islam itu sendiri tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Pada yang sama, beliau turut menafikan dakwaan bahawa JHEAT tidak memandang serius berhubung isu yang tular di media sosial itu.

“Premis (kedai makan) ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi dan dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian… itu tak betul sebab premis ini sedang dalam pemantauan,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 34 saat menunjukkan beberapa pelanggan lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang wanita di sebuah kedai makan di negeri itu.

Didapati, dua pelanggan tanpa segan silu bergambar dengan wanita di dipercayai pekerja kedai berkenaan, semalam.

Video berkenaan kemudian mencetuskan pelbagai reaksi warganet, dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.- Media Variasi

Sumber foto  : Tiktok imbodybuilderrz

Author

Pilihan Editor