HomeBeritaKPLB nafi pinggir masyarakat Orang Asli, sedia RM274 juta peruntukan

KPLB nafi pinggir masyarakat Orang Asli, sedia RM274 juta peruntukan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan tohmahan bahawa kerajaan meminggirkan keperluan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Sebaliknya kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM274 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha mendokong pembangunan kemajuan masyarakat Orang Asli.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu meningkat RM37.8 juta berbanding peruntukan tahun lalu iaitu sebanyak RM236.2 juta.

“Jumlah itu merangkumi peruntukan Pembangunan RM113.8 juta, Dasar Sedia Ada RM67.1 juta, Program Khusus RM90 juta dan pelaksanaan Program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli & Penan atau KEDAP sebanyak RM3 juta.

“Peruntukan yang disediakan ini menunjukkan Kerajaan Keluarga Malaysia begitu komited dalam memastikan tiada satu pun daripada rakyat Malaysia terpinggir daripada menerima pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli bersama Pemimpin di ibu negara hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah: Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.

Jelas Mahdzir, kerajaan meletakkan harapan yang tinggi kepada kepimpinan masyarakat Orang Asli untuk membantu Kerajaan dalam mencorak masa depan masyarakat Orang Asli.

Pada masa yang sama, kerajaan turut berharap Batin dan Penghulu Orang Asli memainkan peranan sebagai ejen penghubung diantara masyarakat Orang Asli dengan agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Dengan adanya pemimpin yang dilantik dalam kalangan komuniti Orang Asli sendiri, saya percaya bahawa masa depan masyarakat Orang Asli terpelihara.

Selain itu menurut Mahdzir, kerajaan turut membelanjakan sejumlah RM6.5 juta setahun bagi membayar elaun bulanan kepada Batin dan Penghulu.

Di pihak JAKOA pula sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan, sentiasa mencari ruang kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk manfaat kepada masyarakat Orang Asli.

Author

Pilihan Editor